Sejarah SMKSL

Sejarah SMK Seri Lalang


Seri Lalang merupakan sebuah pekan kecil yang terletak di km 8, Jalan Kluang - Air Hitam. Seri Lalang merupakan pekan sempadan yang memisahkan antara Daerah Kluang dan Daerah Batu Pahat. Pada tahun 1948 hanya terdapat sebuah sekolah Melayu yang berdindingkan papan dan beratapkan rumbia manakala sekolah menengah tiada langsung di pekan ini. Pekan ini telah berkembang dengan pesatnya dari semasa ke semasa. Kepesatan pembangunan ini dapat dibuktikan dengan munculnya beberapa kawasan perumahan baru yang telah dibangunkan seperti Taman Ria dan Taman Bahagia. Pada ketika itu pelajar-pelajar sekolah menengah bersekolah di beberapa buah sekolah yang terletak di Bandar Kluang seperti SMK Taman Kluang Barat, SMK Tun Hussien Onn dan SMK Convent, yang jauhnya lebih kurang 8 km dari kawasan mereka. Keadaan ini mengundang kerumitan kepada para pelajar dari segi pengangkutan.

Oleh hal yang demikian pihak Kementerian Pendidikan Malaysia melalui Jabatan Pendidikan Johor telah berusaha untuk mencari kawasan yang sesuai untuk dibangunkan sebagai kawasan sekolah. Justeru, SMK Seri Lalang telah dibangunkan di satu kawasan seluas 14 ekar kira-kira 16 km dari Bandar Kluang dan 8 km dari Pekan Seri Lalang. Walaupun kedudukan sekolah ini terletak di daerah Batu Pahat dari segi pentadbiran pihak berkuasa tempatan tetapi dari segi pentadbiran pendidikan sekolah ini termasuk dalam kawasan Pejabat Pendidikan Daerah Kluang. Hal ini demikian kerana jarak kedudukan sekolah dengan pejabat pendidikan diambil kira. Justeru jika diperhatikan nama cadangan awal projek ini ialah mereka bentuk, membina dan menyiapkan SMK SERI LALANG, BATU 60 ¾, JALAN AIR HITAM – KLUANG, MUKIM SRI GADING, BATU PAHAT.

Bangunan SMK Seri Lalang yang sepatutnya siap pada 24 November 2002 dan mula beroperasi pada Jun 2003 gagal disiapkan pemaju berikutan masalah kekurangan tenaga buruh. Namun begitu, SMK Seri Lalang tetap memulakan operasinya pada September 2003 dengan menumpang di bangunan SMK Dato Menteri Ayer Hitam sehingga bangunan SMK Seri Lalang siap untuk digunakan pada 1 Januari 2004. Pada 1 September 2003, sekolah ini mula menerima pelajar perintis seramai 53 orang pelajar tingkatan 1 yang ditempatkan dalam 2 buah kelas. Pada tahun berikutnya, sekolah-sekolah rendah yang menghantar pelajar mereka untuk meneruskan persekolahan menengah di sekolah ini ialah SRK Air Hitam, SRK LKTP Ayer Hitam, SRK Seri Lalang dan SRJK(C) Sri Lalang. Pengetua pertama yang dipertanggungjawabkan untuk menguruskan pentadbiran sekolah ini ialah Pn. Hjh. Robiah binti Hj. Ahmad mulai 16 Jun 2003 sehingga Disember 2008 dengan bimbingan Pn. Normah binti Jantan Pengetua, SMK Jalan Batu Pahat. En. Shahat bin Mohd. Shah pula telah dilantik sebagai Penyelaras sekolah ini pada 1 September 2002 bagi menguruskan penerimaan perabot, peralatan, pendaftaran pelajar-pelajar baru dan menangani pelbagai masalah yang timbul untuk dirujuk kepada pihak PPD Kluang. Bilangan guru yang asalnya 23 pada tahun pertama pembukaan sekolah ini, kini telah bertambah sehingga 64 orang pada tahun 2009 selaras dengan pertambahan pelajarnya yang berjumlah 850 orang pada masa kini.

Pengetua yang menerajui pentadbiran sekolah ini mulai tahun 2009 ialah Pn. Hjh. Hanim binti Abdullah. Mulai tahun 2009 menyaksikan SMK Seri Lalang telah diberi kepercayaan sebagai sekolah perintis bagi Projek MS ISO 9001 : 2008, Program Sekolah Lestari dan Program BCCC. Pada tahun 2010 bangunan asrama telah siap sepenuhnya untuk menerima kemasukan pelajar Rancangan Khas Agama (KAA) yang telah pun mendaftar pada awal 2010. Pelajar perintis KAA ini adalah diharapkan akan menyuntik semangat dan iltizam yang baru dalam kalangan guru, kaki tangan dan para pelajar sekolah ini.